Khamis, 12 Mac 2020

Membiak Ikan Laga Bukan Semudah Kata


Ikan pelaga atau lebih dikenali dengan panggilan ikan laga merupakan sejenis ikan air tawar yang selalunya menjadi pilihan sebagai ikan hiasan dalam akuarium yang kecil. Antara jenis ikan Pelaga ialah Betta Splendens (ikan pelaga siam), Betta Imbellis (ikan mengkaring), Trichopsis Vittata (ikan sempilai). Ikan kecil yang tinggi lagak sombongnya itu sebenarnya penuh kecantikan. Jadi tidak hairanlah banyak mata yang terpikat.

Pengalaman SD sendiri dalam memelihara ikan ini adalah setelah mengunjungi pameran dimana terdapat pertandingan kecantikan ikan laga. Bermula dari hari itu, SD  sendiri sentiasa mengambil tahu perkembangan ikan laga. Dari seekor ikan, kini kian bertambah sehinggakan mencuba membiakkan ikan tersebut. Mengikut kiraan SD, perkara itu mudah akan tetapi ‘hari yang panas disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.Ternyata membiakkan haiwan yang kecil itu bukanlah mudah seperti disangka. Disebabkan beranggapan sebegitu SD cuba membiakkan 2 pasangan dalam masa yang sama.

Semasa percubaan kali pertama, SD mengikut cara yang ditunjukkan dalam kebanyakan video yang dimuat naik  oleh pencinta ikan laga Malaysia dan Indonesia di ‘Youtube’ selain dari bahan bacaan. Pada awalnya semua bermula agak baik dimana kedua-dua induk yang ditempatkan dalam bekas yang berbeza menghasilkan telur. Sampai ke peringkat larva, kesemuanya mati serentak. Oleh kerana SD belum mahir dalam perkara itu, maka punca kematian tidak dapat nak dipastikan. Selepas itu barulah SD sentiasa dapatkan maklumat daripada kenalan yang pernah membiakkan ikan tersebut. Memandangkan kenalan pertama SD yang membiakkan ikan laga itu biasa membiakkan ikan di Melaka, jadi secara tidak langsung SD dapat induk ikan dari negeri tersebut. Seterusnya SD dapatkan induk lain yang berada di sempadan Indonesia. Di pasaran tempat SD menetap kebiasaannya induk yang agak berkualiti akan dijual pada harga RM20 – RM100. Melalui induk-induk yang baru tersebut SD cuba membiakkan ikan pelaga semula. Percubaan kali ini SD cuba menggunakan sumber air yang lebih baik, tempat persenyawaan yang lebih selesa dan dimasukkan juga tanaman air.

Sediakan tempat yang sesuai dan selesa untuk ikan laga
Setelah proses pengenalan induk jantan dan betina selama sehari semalam, SD lepaskan induk betina dari bekas kurungan untuk membolehkan pasangan bergerak bebas. Bagi pemula, seeloknya adakan sesi perkenalan terlebih dahulu bagi mengelakkan kecederaan salah seekor induk sekiranya ditempatkan serta merta. Tidak dinafikan juga memang pernah pasangan pelaga itu berjaya walaupun tanpa melalui proses mengenal sesama induk. Pada mulanya, SD risau juga memandangkan kedua-dua induk tidak menampakkan reaksi sesudahkan dilepaskan. Oleh kerana tiada tindakan agresif mencederakan sesama induk, SD biarkan selama 2 hari barulah timbul petanda akan ada persenyawaan. Rezeki tidak pernah salah alamat, SD berkesempatan melihat persenyawaan tersebut. Pasangan pelaga seakan bergulung sesama sendiri, barulah induk betina akan melepaskan telur. Induk jantan pula akan mengutip setiap telur yang dilepaskan dan menempatkan telur tersebut pada sarang buih yang telah dihasilkan. SD mengeluarkan induk betina setelah si jantan mulai menghalang pasangannya mendekati telur.

Sehari selepas bertelur, itulah saat indah SD rasa bagi peminat ikan laga yang membiakkannya. Pada waktu itulah telur mulai menetas. Peminat ikan laga akan mulai melihat anak ikan itu seakan jentik-jentik nyamuk. Jangan buang pulak ye, mana la tahu ada yang beranggapan nyamuk yang membiak
Anak ikan laga (fry) berumur seminggu
Semasa anak ikan laga berumur sehari sehinggalah hari keempat, digalakkan untuk tidak memberi sebarang makanan. Ini kerana anak ikan laga ini dikatakan masih ada makanan hasil dari penetasan telur tersebut. Selesai tempoh tersebut, barulah SD mulai memberi makan kepada anak ikan laga. Makanan pertama yang SD berikan artemia BBS. Artemia ini SD tetaskan dalam botol yang disambung dengan ‘air pump’. SD mengambil pengajaran dari percubaan yang pertama, sebelum membiak ikan laga seeloknya cari dan sediakan dahulu makanan untuk anak ikan. Apabila anak ikan berumur lebih kurang seminggu lebih, SD pindahkan mereka ke dalam tempat pembesaran yang lebih luas dari bekas persenyawaan. 
Anak ikan laga berumur sebulan
Kini anak ikan laga tersebut telah mencecah umur sebulan walaupun dalam tempoh tersebut ada yang mati. Tempoh penjagaan sehingga sebulan SD sentiasa memberi makan anak ikan laga dengan artemia dan menjaga kualiti air.
Sediakan juga tempat pembesaran anak ikan laga
Walaupun pertama kali berjaya membiakkan ikan laga, SD dapat rasakan sedikit kepuasan menjadi peminat ikan ini. Nasihat SD kepada pemula yang lain cuma satu, sekiranya percubaan membiakkan ikan laga tidak menjadi, jangan berputus asa dan berhenti setakat itu. Ini kerana, SD sendiri sebagai pemula juga merasakan proses tersebut akan mengajar sesuatu. Setiap hari SD mengetahui satu persatu perkara yang baharu. Semakin lama kita akan terbiasa dan perkara yang sukar itu akan menjadi mudah. Sehinggakan sampai satu tahap kita akan merasakan membiak ikan laga itu agak mudah. Tetapi jangan terlalu yakin kerana kita tidak mengetahui sesuatu yang baharu akan muncul. SD harapkan peminat ikan laga yang lain sekiranya mahu membiakkan ikan tersebut, kaji dan sediakan semua keperluan yang patut terlebih dahulu.

Tiada ulasan: