Isnin, 14 Mac 2016

BANGUNLAH BANGSAKU, AYUH BERSATU


Kedudukan agama Islam dipersoal

Sejak kebelakangan ini, orang Melayu dan umat Islam kelihatan agak lemas menangani asakan tanpa henti daripada pelbagai disiplin kehidupan. Kelihatan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan sudah mula dipersoalkan mereka yang menuntut kesamarataan agama.

Saki-baki hak keistimewaan orang Melayu yang tinggal pula mahu digantikan dengan hak kesamarataan atas alasan keadilan, begitu juga dalam soal pembinaan rumah ibadat. Malah, kalimah Allah yang digunakan secara eksklusif oleh orang Islam di negara ini pun hendak digunakan oleh agama lain.

Senario seumpama ini jelas menekan orang Melayu. Suara yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus saja dilabelkan sebagai perkauman sempit, manakala yang berkaitan dengan hak kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi manusia.



Terkadang menjadi suatu yang dianggap berdosa hinggakan seseorang boleh kehilangan pangkat dan jawatannya hanya kerana mengingatkan khalayaknya akan sejarah penubuhan negara ini.


Sedangkan kita tahu sementara orang Melayu terus mendapat nikmat dalam bumi ini, kaum lain pun turut sama menuai hasil tanpa perlu berasa takut atau dianaktirikan. Tentu saja kita boleh meneliti statistik penganugerahan status warga negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak merdeka yang jelas menunjukkan betapa ramai kaum bukan Melayu menikmati anugerah ini.



Melayu kian hilang jati diri

Tahun demi tahun, orang Melayu kian hilang jati diri yang menjadi asas keutuhan sesuatu kaum. Tentunya orang Melayu tidak boleh hanya menyalahkan orang lain semata-mata. Orang Melayu perlu segera dikejutkan dan keluar dari zon selesa di tanah air sendiri. Satu masalah lazim yang ada bagi penduduk asal sesebuah negara adalah kegagalan mereka untuk keluar daripada kepompong keselesaan hingga mengakibatkan mereka menjadi lemah.

Apabila kita meneliti satu demi satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa tidak ada satu pun dalam peruntukan tersebut merujuk kepada terma Ketuanan Melayu. Apa yang dimaktubkan adalah hak keistimewaan orang Melayu. Sedikit hak keistimewaan yang ada ini sebenarnya sudah mencukupi untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan sebuah bangsa Melayu yang hebat.

Sebaliknya, hak keistimewaan ini tidak boleh lagi menjadi gula-gula bagi memapah bangsa Melayu kerana perlindungan melalui penguatkuasaan perundangan tidak akan selamanya boleh menjadikan bangsa Melayu menjadi bangsa yang kuat. Malah, ia boleh mengakibatkan orang Melayu dilihat sebagai kaum majoriti dengan suara minoriti. Dalam banyak keadaan, penguasaan ekonomi dan kuasa wang boleh saja meruntuhkan tembok dan pagar yang dibina bagi melindungi orang Melayu apatah lagi kita hidup dalam zaman yang mana kuasa wang diletakkan sebagai keutamaan paling tinggi dalam kehidupan kita.


Melayu kena berusaha untuk bersaing


Segmentasi bangsa masih diperlukan dalam negara kita bagi menentukan status maju mundurnya ekonomi, sosial dan pendidikan warga negaranya. Semua orang yang menerima hidayah Allah boleh memeluk agama Islam, tetapi tidak ada orang yang boleh menjadi Melayu atau Cina atau kaum apa sekalipun. Kita memang ditakdirkan untuk lahir sebagai seorang Melayu.


Pengakuan sesuatu bangsa itu sepatutnya tidaklah menjadi halangan untuk kita saling mengenali dan berbaik-baik sesama kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara merdeka, kerajaan perlu mengambil berat agenda pembangunan semua kaum yang ada dalam negara kita.


Pada masa sama, potensi yang ada pada setiap warga negara perlu terus diasah tanpa membezakan warna kulit bagi memastikan potensi yang ada dapat membantu menaikkan martabat negara kita. Begitupun, ini bukan pula bermakna bahawa peruntukan yang menjadi teras dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi penting.


Masalahnya, ialah apabila ada segelintir rakyat yang menjuarai hak sama rata dengan semua kaum sedangkan peruntukan yang khusus berkaitan Melayu dan status Agama Islam seolah-olah dikesampingkan pula. Masanya sudah tiba untuk kita lebih menitikberatkan pemahaman setiap warga negara akan teras pembinaan negara ini.


2015 telah melabuhkan tirainya, manakala 2016 sudah menjelma dengan harapan orang Melayu akan bangkit daripada kealpaan lalu bingkas memperkukuhkan penyatuan dalam talian agama Islam tanpa mengira fahaman politik bagi menjadi tiang seri negara ini.





Catat Ulasan