Ikan pelaga atau lebih dikenali dengan panggilan ikan laga merupakan
sejenis ikan air tawar yang selalunya menjadi pilihan sebagai ikan hiasan dalam
akuarium yang kecil. Antara jenis ikan Pelaga ialah Betta Splendens (ikan
pelaga siam), Betta Imbellis (ikan mengkaring), Trichopsis Vittata (ikan
sempilai). Ikan kecil yang tinggi lagak sombongnya itu sebenarnya penuh
kecantikan. Jadi tidak hairanlah banyak mata yang terpikat.
Pengalaman SD sendiri dalam memelihara ikan ini adalah
setelah mengunjungi pameran dimana terdapat pertandingan kecantikan ikan laga.
Bermula dari hari itu, SD sendiri
sentiasa mengambil tahu perkembangan ikan laga. Dari seekor ikan, kini kian
bertambah sehinggakan mencuba membiakkan ikan tersebut. Mengikut kiraan SD,
perkara itu mudah akan tetapi ‘hari yang panas disangka sampai ke petang,
rupanya hujan di tengah hari’.Ternyata membiakkan haiwan yang kecil itu
bukanlah mudah seperti disangka. Disebabkan beranggapan sebegitu SD cuba
membiakkan 2 pasangan dalam masa yang sama.
Semasa percubaan kali pertama, SD mengikut cara yang
ditunjukkan dalam kebanyakan video yang dimuat naik oleh pencinta ikan laga Malaysia dan
Indonesia di ‘Youtube’ selain dari bahan bacaan. Pada awalnya semua bermula
agak baik dimana kedua-dua induk yang ditempatkan dalam bekas yang berbeza
menghasilkan telur. Sampai ke peringkat larva, kesemuanya mati serentak. Oleh
kerana SD belum mahir dalam perkara itu, maka punca kematian tidak dapat nak
dipastikan. Selepas itu barulah SD sentiasa dapatkan maklumat daripada kenalan
yang pernah membiakkan ikan tersebut. Memandangkan kenalan pertama SD yang
membiakkan ikan laga itu biasa membiakkan ikan di Melaka, jadi secara tidak
langsung SD dapat induk ikan dari negeri tersebut. Seterusnya SD dapatkan induk
lain yang berada di sempadan Indonesia. Di pasaran tempat SD menetap
kebiasaannya induk yang agak berkualiti akan dijual pada harga RM20 – RM100.
Melalui induk-induk yang baru tersebut SD cuba membiakkan ikan pelaga semula.
Percubaan kali ini SD cuba menggunakan sumber air yang lebih baik, tempat
persenyawaan yang lebih selesa dan dimasukkan juga tanaman air.
Sediakan tempat yang sesuai dan selesa untuk ikan laga |
Setelah proses pengenalan induk jantan dan betina selama
sehari semalam, SD lepaskan induk betina dari bekas kurungan untuk membolehkan
pasangan bergerak bebas. Bagi pemula, seeloknya adakan sesi perkenalan terlebih
dahulu bagi mengelakkan kecederaan salah seekor induk sekiranya ditempatkan
serta merta. Tidak dinafikan juga memang pernah pasangan pelaga itu berjaya
walaupun tanpa melalui proses mengenal sesama induk. Pada mulanya, SD risau
juga memandangkan kedua-dua induk tidak menampakkan reaksi sesudahkan
dilepaskan. Oleh kerana tiada tindakan agresif mencederakan sesama induk, SD
biarkan selama 2 hari barulah timbul petanda akan ada persenyawaan. Rezeki
tidak pernah salah alamat, SD berkesempatan melihat persenyawaan tersebut. Pasangan
pelaga seakan bergulung sesama sendiri, barulah induk betina akan melepaskan
telur. Induk jantan pula akan mengutip setiap telur yang dilepaskan dan
menempatkan telur tersebut pada sarang buih yang telah dihasilkan. SD
mengeluarkan induk betina setelah si jantan mulai menghalang pasangannya
mendekati telur.
Sehari selepas bertelur, itulah saat indah SD rasa bagi
peminat ikan laga yang membiakkannya. Pada waktu itulah telur mulai menetas.
Peminat ikan laga akan mulai melihat anak ikan itu seakan jentik-jentik nyamuk.
Jangan buang pulak ye, mana la tahu ada
yang beranggapan nyamuk yang membiak.
Anak ikan laga (fry) berumur seminggu |
Semasa anak ikan laga berumur sehari
sehinggalah hari keempat, digalakkan untuk tidak memberi sebarang makanan. Ini
kerana anak ikan laga ini dikatakan masih ada makanan hasil dari penetasan
telur tersebut. Selesai tempoh tersebut, barulah SD mulai memberi makan kepada
anak ikan laga. Makanan pertama yang SD berikan artemia BBS. Artemia ini SD
tetaskan dalam botol yang disambung dengan ‘air pump’. SD mengambil pengajaran
dari percubaan yang pertama, sebelum membiak ikan laga seeloknya cari dan
sediakan dahulu makanan untuk anak ikan. Apabila anak ikan berumur lebih kurang
seminggu lebih, SD pindahkan mereka ke dalam tempat pembesaran yang lebih luas
dari bekas persenyawaan.
Anak ikan laga berumur sebulan |
Kini anak ikan laga tersebut telah mencecah umur
sebulan walaupun dalam tempoh tersebut ada yang mati. Tempoh penjagaan sehingga
sebulan SD sentiasa memberi makan anak ikan laga dengan artemia dan menjaga
kualiti air.
Sediakan juga tempat pembesaran anak ikan laga |
Walaupun pertama kali berjaya membiakkan ikan laga, SD dapat
rasakan sedikit kepuasan menjadi peminat ikan ini. Nasihat SD kepada pemula
yang lain cuma satu, sekiranya percubaan membiakkan ikan laga tidak menjadi,
jangan berputus asa dan berhenti setakat itu. Ini kerana, SD sendiri sebagai
pemula juga merasakan proses tersebut akan mengajar sesuatu. Setiap hari SD
mengetahui satu persatu perkara yang baharu. Semakin lama kita akan terbiasa
dan perkara yang sukar itu akan menjadi mudah. Sehinggakan sampai satu tahap
kita akan merasakan membiak ikan laga itu agak mudah. Tetapi jangan terlalu
yakin kerana kita tidak mengetahui sesuatu yang baharu akan muncul. SD harapkan
peminat ikan laga yang lain sekiranya mahu membiakkan ikan tersebut, kaji dan
sediakan semua keperluan yang patut terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan