Rabu, 12 Disember 2018

GUNUNG GADING BERSERI KERANA RAFFLESIA




Gunung Gading merupakan salah satu gunung yang terdapat di Lundu, barat daya Sarawak. Ia telah diwartakan sebagai sebuah taman pada 1 Ogos 1983 dimana tujuan utama adalah bagi menyediakan zon pemuliharaan Bunga Rafflesia. Rafflesia?... Ya rafflesia, memang benar rafflesia, bukan salah SD eja dan bukan juga anda semua salah baca. Gunung Gading merupakan satu-satunya lokasi di Sarawak yang adanya bunga tersebut.

Pada mulanya, pewartaan taman ini merupakan kawasan pemuliharaan tertutup bagi Rafflesia yang menakjubkan, bunga terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga satu meter diameter. Besarkan? Bayangkan sekiranya bunga Mawar (rose) yang kebiasaannya kaum adam hadiahkan kepada hawa diganti dengan Rafflesia…Ha..Ha..Ha.. (Ke situ pulak perginya). Walau bagaimanapun, selepas pelbagai kajian kesan alam sekitar, Jabatan Taman Negara memutuskan bahawa Gunung Gading adalah satu khazanah yang patut dikongsi bersama dengan semua orang. Ia telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1994.

Penulisan kali ini bukanlah untuk mengajar semua mengenai Rafflesia tapi menceritakan pengalaman SD sendiri bersama rakan-rakan menawan puncak Gunung Gading. Rancangan untuk menawan Gunung Gading ni sebenarnya dirancang sehari sebelum tarikh sebenar untuk mendaki. Alahai…sebenarnya x elok juga perancangan ‘last minute’ macam ni. Bayangkan SD sendiri dah sebulan x ada sebarang senaman, akibatnya amatlah teruk. Waktu buat penulisan ni pun SD tengah rendamkan kaki dalam air berais. Ha…jangan nak gelak k. Jadi kat sini SD sarankan buatlah perancangan lebih awal supaya keupayaan fizikal dan mental tu kental, selain tu agar segala peralatan yang diperlukan dapat disediakan lebih awal.

SD bersama 7 orang lagi rakan memulakan perjalanan dari Kuching ke Lundu pada jam 9.00 pagi Ahad 9 Disember 2018. Agak lewat sedikit disebabkan terdapat rakan yang terpaksa menguruskan urusan keluarga terlebih dahulu. Kami tiba di Taman Negara Gunung Gading pada jam 10.45 pagi, lebih awal dari jangkaan sebenar iaitu 2 jam masa perjalanan. Sebenarnya bagi yang ingin merancang ke Gunung Gading atau kawasan sekitar, tempoh perjalanan kita turut bergantung dengan feri Rambungan Lundu. Kurang kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri pada masa tersebut maka akan jimat jugalah masa perjalanan kita.

Laluan 200 meter dari kaki Gunung Gading agak mudah

Pendaftaran untuk memasuki lokasi tersebut adalah berjumlah RM10.00 untuk seorang. Selesai urusan SD dan rakan membuat pendaftaran dengan pihak pengurusan Taman Negara Gunung Gading, kami memulakan pendakian pada jam 11.00 pagi. Setelah berjalan sejauh 300 meter, kami tiba di lokasi Rafflesia yang mekar pada 6.12.2018. Saat ini merupakan kali pertama SD serta rakan yang lain melihat dan menyentuh Bunga Rafflesia. Sebelum ini kami beranggapan bunga tersebut hanya terdapat di negeri Sabah.

Pertama kali dapat melihat Rafflesia

Bunga Rafflesia Gunung Gading

Anggaran saiz Bunga Rafflesia

Kami teruskan pendakian sehingga ke jarak 600 meter. Pada ketika ini seorang rakan tidak dapat meneruskan pendakian disebabkan laluan untuk mendaki telah mula mencabar. Beliau terpaksa ditemani seorang rakan untuk turun semula ke kaki gunung. Walaupun begitu, mereka tidak hampa mendaki sejauh ini disebabkan ada hadiah yang menanti. Ini kerana pada jarak ini, terdapat air terjun (waterfall 1) dimana pengunjung dibenarkan untuk mandi dan berkelah.
Batu Apek


Maka tinggallah SD dan 5 rakan yang tinggal untuk meneruskan pendakian. Setiba pada jarak 900 meter, kami telah sampai di ‘check point’ seterusnya iaitu ‘Batu Apek’. Batu Apek ni mendapat nama melalui orang tua yang dikenali sebagai Apek telah sesat beberapa lama di dalam kawasan Gunung Gading. Batu ini telah menjadi tempat beliau berteduh sehingga berjaya keluar dari kawasan hutan. sehingga ke hari tersebut, Apek selalu ke tempat ini untuk bersembahyang. semasa kami melalui tempat ni, terdapat kesan seperti orang baru sembayang tempat ni.



Dalam 20 minit mendaki, kami telah sampai ke ‘waterfall 3’. Mengikut jarak yang didapati dalam peta yang diperolehi semasa pendaftaran tadi adalah 1100 meter. Kami tidak berehat disini disebabkan pengunjung tidak digalakkan untuk mandi kerana arus deras dan kawasan sekitar agak berbahaya.





Waterfall 3

Waterfall 3 ni mempunyai cerita lagendanya tersendiri. Lagenda menyatakan air terjun ini dijaga oleh tiga orang puteri yang gemar mandi manda dan bersantai di sini. Mereka juga menanam 'Buluh Perindu' yang diawasi oleh binatang2 liar. Sesiapa yang mendapat buluh  tersebut akan beruntung kerana akan disayangi oleh segenap orang hingga akan dapat berkahwin sepuluh orang isteri. Semoga 'Buluh Perindu' tersebut tidak dijumpai oleh pengunjung2 lelaki.. hahahahahaha


Selepas melalui waterfall 3, kami pun meneruskan perjalanan sehingga ke jarak 1900 meter dari kaki gunung. Pada ketika ini, seluruh badan telah mulai berasa lenguh kerana laluan yang dilalui tadi agak sukar dimana banyak berbatu dan mendaki menggunakan tali. Kadang-kadang terlintas juga di fikiran SD untuk ‘give up’. Walaupun pada jarak ini tiada ‘check point’, kami dapat berehat sebentar diatas batu-batu besar yang berada ditengah-tengah anak sungai. Dapat la rendamkan kaki yang mulai kebas sekejap. Air amat jernih dan sejuk. Sebelum tiba pada jarak ini, kami sebenarnya telah melalui ‘waterfall 7’. Namun begitu kami tidak menelusuri laluan ke air terjun disebabkan ia berada agak ke bawah dari laluan mendaki.
Mr. Jin Kui Tow (beliau bersama kami mendaki sehingga ke puncak gunung)


Semasa hendak meneruskan pendakian, kami berjumpa dengan seorang lelaki berbangsa cina yang sedang menuruni gunung. Seimbas pandang seperti orang yang berumur 40an, tetapi setelah kami mulai berkenalan baru lah tahu beliau dah berumur 57 tahun. Mak ai….57 tahun, mendaki seorang diri? Masuk ke dalam hutan seorang diri?. Melihat kesungguhan beliau itu, SD kuatkan semangat untuk teruskan mendaki sehingga sampai ke summit gunung.



Pendakian kami semakin melalui laluan yang curam. SD mengambil keputusan untuk berada di kedudukan yang belakang. Ini disebabkan terdapat salah seorang daripada kami telah mengalami gejala Acute Mountain Sickness (AMS) dimana beliau  berasa seperti pening kepala, loya hendak muntah. Kami berehat selama 10 minit pada 3000 meter sehinggalah beliau dapat meneruskan pendakian.

Laluan berbatu yang agak berbahaya kerana curam dan licin

Lebih kurang jam 2.00 petang kami telah berjaya sampai ke puncak Gunung Gading. Badan yang tadi berasa lenguh tidak lagi terasa. Semua mengambil peluang merakamkan kenangan dalam gambar di ‘handset’ masing-masing. Dari jarak 3000 meter tadi, kami mengambil masa selama sejam untuk sampai ke puncak yang berada pada jarak 3800 meter. Oleh kerana waktu agak lewat, kami mengambil keputusan untuk turun semula. Bagi sesiapa yang berkesempatan tiba di puncak lebih awal bolehlah turun trail lain Gunung Gading iaitu Batu Berkubu. Batu Berkubu merupakan bekas tapak komunis berkubu semasa zaman darurat dahulu.

Gunung Gading Summit 3.8km

SD serta rakan yang lain mulai menuruni gunung pada jam 2.15 petang. Perjalanan kami turun ke kaki gunung tidak mengalami sebarang masalah. Cuaca baik dari pagi sehingga ke petang, sekiranya hari hujan mungkin akan melambatkan kami untuk turun. Tepat jam 4.20 petang kami semua selamat tiba di kaki gunung. Sebelum bergerak pulang ke Kuching, kami mengambil kesempatan untuk menukar pakaian masing-masing di tempat khas yang disediakan oleh pengurusan Taman Negara Gunung Gading.

Pengalaman menawan Gunung Gading mungkin sukar dilupakan. Ini kerana kami semua berkesempatan melihat bunga Rafflesia mekar. Jadi bagi sesiapa yang ingin mendaki gunung sambil melihat bunga tersebut, SD sarankan supaya hubungi pengurusan Taman Negara Gunung Gading terlebih dahulu bagi mendapatkan waktu mekarnya.

Nasihat saya kepada pengunjung yang ingin mendaki Gunung Gading atau mana-mana gunung, pastikan anda menyiapkan diri dari segi fizikal, mental serta barang kelengkapan untuk mendaki Gunung seperti topi, lampu suluh, wisel dan lain-lain. Jangan lupa makanan dan minuman secukupnya ok….tengah-tengah hutan tu takde Shopping Mall.



Tiada ulasan: