Gunung Gading merupakan salah
satu gunung yang terdapat di Lundu, barat daya Sarawak. Ia telah diwartakan
sebagai sebuah taman pada 1 Ogos 1983 dimana tujuan utama adalah bagi
menyediakan zon pemuliharaan Bunga Rafflesia. Rafflesia?... Ya rafflesia,
memang benar rafflesia, bukan salah SD eja dan bukan juga anda semua salah
baca. Gunung Gading merupakan satu-satunya lokasi di Sarawak yang adanya bunga
tersebut.
Pada mulanya, pewartaan taman ini
merupakan kawasan pemuliharaan tertutup bagi Rafflesia yang menakjubkan, bunga
terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga satu meter diameter. Besarkan?
Bayangkan sekiranya bunga Mawar (rose) yang kebiasaannya kaum adam hadiahkan
kepada hawa diganti dengan Rafflesia…Ha..Ha..Ha.. (Ke situ pulak perginya). Walau bagaimanapun, selepas
pelbagai kajian kesan alam sekitar, Jabatan Taman Negara memutuskan bahawa
Gunung Gading adalah satu khazanah yang patut dikongsi bersama dengan semua
orang. Ia telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1994.
Penulisan kali ini bukanlah untuk
mengajar semua mengenai Rafflesia tapi menceritakan pengalaman SD sendiri
bersama rakan-rakan menawan puncak Gunung Gading. Rancangan untuk menawan Gunung
Gading ni sebenarnya dirancang sehari sebelum tarikh sebenar untuk mendaki.
Alahai…sebenarnya x elok juga perancangan ‘last minute’ macam ni. Bayangkan SD
sendiri dah sebulan x ada sebarang senaman, akibatnya amatlah teruk. Waktu buat
penulisan ni pun SD tengah rendamkan kaki dalam air berais. Ha…jangan nak gelak
k. Jadi kat sini SD sarankan buatlah perancangan lebih awal supaya keupayaan
fizikal dan mental tu kental, selain tu agar segala peralatan yang diperlukan
dapat disediakan lebih awal.
SD bersama 7 orang lagi rakan
memulakan perjalanan dari Kuching ke Lundu pada jam 9.00 pagi Ahad 9 Disember
2018. Agak lewat sedikit disebabkan terdapat rakan yang terpaksa menguruskan urusan
keluarga terlebih dahulu. Kami tiba di Taman Negara Gunung Gading pada jam 10.45
pagi, lebih awal dari jangkaan sebenar iaitu 2 jam masa perjalanan. Sebenarnya
bagi yang ingin merancang ke Gunung Gading atau kawasan sekitar, tempoh
perjalanan kita turut bergantung dengan feri Rambungan Lundu. Kurang kenderaan
yang menggunakan perkhidmatan feri pada masa tersebut maka akan jimat jugalah
masa perjalanan kita.
Laluan 200 meter dari kaki Gunung Gading agak mudah |
Pendaftaran untuk memasuki lokasi tersebut adalah berjumlah RM10.00 untuk seorang. Selesai urusan SD dan rakan membuat pendaftaran dengan pihak pengurusan Taman Negara Gunung Gading, kami memulakan pendakian pada jam 11.00 pagi. Setelah berjalan sejauh 300 meter, kami tiba di lokasi Rafflesia yang mekar pada 6.12.2018. Saat ini merupakan kali pertama SD serta rakan yang lain melihat dan menyentuh Bunga Rafflesia. Sebelum ini kami beranggapan bunga tersebut hanya terdapat di negeri Sabah.
Pertama kali dapat melihat Rafflesia |
Bunga Rafflesia Gunung Gading |
Anggaran saiz Bunga Rafflesia |
Kami teruskan pendakian sehingga ke jarak 600 meter. Pada ketika ini seorang rakan tidak dapat meneruskan pendakian disebabkan laluan untuk mendaki telah mula mencabar. Beliau terpaksa ditemani seorang rakan untuk turun semula ke kaki gunung. Walaupun begitu, mereka tidak hampa mendaki sejauh ini disebabkan ada hadiah yang menanti. Ini kerana pada jarak ini, terdapat air terjun (waterfall 1) dimana pengunjung dibenarkan untuk mandi dan berkelah.
Batu Apek |
Maka tinggallah SD dan 5 rakan
yang tinggal untuk meneruskan pendakian. Setiba pada jarak 900 meter, kami
telah sampai di ‘check point’ seterusnya iaitu ‘Batu Apek’. Batu Apek ni
mendapat nama melalui orang tua yang dikenali sebagai Apek telah sesat beberapa
lama di dalam kawasan Gunung Gading. Batu ini telah menjadi tempat beliau
berteduh sehingga berjaya keluar dari kawasan hutan. sehingga ke hari tersebut,
Apek selalu ke tempat ini untuk bersembahyang. semasa kami melalui tempat ni,
terdapat kesan seperti orang baru sembayang tempat ni.
Dalam 20 minit mendaki, kami
telah sampai ke ‘waterfall 3’. Mengikut jarak yang didapati dalam peta yang
diperolehi semasa pendaftaran tadi adalah 1100 meter. Kami tidak berehat disini
disebabkan pengunjung tidak digalakkan untuk mandi kerana arus deras dan
kawasan sekitar agak berbahaya.
Waterfall 3 |
Waterfall 3 ni mempunyai cerita lagendanya tersendiri. Lagenda
menyatakan air terjun ini dijaga oleh tiga orang puteri yang gemar mandi manda
dan bersantai di sini. Mereka juga menanam 'Buluh Perindu' yang diawasi oleh
binatang2 liar. Sesiapa yang mendapat buluh
tersebut akan beruntung kerana akan disayangi oleh segenap orang hingga
akan dapat berkahwin sepuluh orang isteri. Semoga 'Buluh Perindu' tersebut
tidak dijumpai oleh pengunjung2 lelaki.. hahahahahaha
Selepas melalui waterfall 3, kami
pun meneruskan perjalanan sehingga ke jarak 1900 meter dari kaki gunung. Pada
ketika ini, seluruh badan telah mulai berasa lenguh kerana laluan yang dilalui
tadi agak sukar dimana banyak berbatu dan mendaki menggunakan tali. Kadang-kadang
terlintas juga di fikiran SD untuk ‘give up’. Walaupun pada jarak ini tiada ‘check
point’, kami dapat berehat sebentar diatas batu-batu besar yang berada ditengah-tengah
anak sungai. Dapat la rendamkan kaki yang mulai kebas sekejap. Air amat jernih
dan sejuk. Sebelum tiba pada jarak ini, kami sebenarnya telah melalui ‘waterfall
7’. Namun begitu kami tidak menelusuri laluan ke air terjun disebabkan ia
berada agak ke bawah dari laluan mendaki.
Mr. Jin Kui Tow (beliau bersama kami mendaki sehingga ke puncak gunung) |
Semasa hendak meneruskan
pendakian, kami berjumpa dengan seorang lelaki berbangsa cina yang sedang menuruni
gunung. Seimbas pandang seperti orang yang berumur 40an, tetapi setelah kami
mulai berkenalan baru lah tahu beliau dah berumur 57 tahun. Mak ai….57 tahun,
mendaki seorang diri? Masuk ke dalam hutan seorang diri?. Melihat kesungguhan
beliau itu, SD kuatkan semangat untuk teruskan mendaki sehingga sampai ke
summit gunung.
Pendakian kami semakin melalui
laluan yang curam. SD mengambil keputusan untuk berada di kedudukan yang belakang.
Ini disebabkan terdapat salah seorang daripada kami telah mengalami gejala
Acute Mountain Sickness (AMS) dimana beliau
berasa seperti pening kepala, loya hendak muntah. Kami berehat selama 10
minit pada 3000 meter sehinggalah beliau dapat meneruskan pendakian.
Laluan berbatu yang agak berbahaya kerana curam dan licin |
Lebih kurang jam 2.00 petang kami telah berjaya sampai ke puncak Gunung Gading. Badan yang tadi berasa lenguh tidak lagi terasa. Semua mengambil peluang merakamkan kenangan dalam gambar di ‘handset’ masing-masing. Dari jarak 3000 meter tadi, kami mengambil masa selama sejam untuk sampai ke puncak yang berada pada jarak 3800 meter. Oleh kerana waktu agak lewat, kami mengambil keputusan untuk turun semula. Bagi sesiapa yang berkesempatan tiba di puncak lebih awal bolehlah turun trail lain Gunung Gading iaitu Batu Berkubu. Batu Berkubu merupakan bekas tapak komunis berkubu semasa zaman darurat dahulu.
Gunung Gading Summit 3.8km |
SD serta rakan yang lain mulai menuruni gunung pada jam 2.15 petang. Perjalanan kami turun ke kaki gunung tidak mengalami sebarang masalah. Cuaca baik dari pagi sehingga ke petang, sekiranya hari hujan mungkin akan melambatkan kami untuk turun. Tepat jam 4.20 petang kami semua selamat tiba di kaki gunung. Sebelum bergerak pulang ke Kuching, kami mengambil kesempatan untuk menukar pakaian masing-masing di tempat khas yang disediakan oleh pengurusan Taman Negara Gunung Gading.
Pengalaman menawan Gunung Gading
mungkin sukar dilupakan. Ini kerana kami semua berkesempatan melihat bunga
Rafflesia mekar. Jadi bagi sesiapa yang ingin mendaki gunung sambil melihat
bunga tersebut, SD sarankan supaya hubungi pengurusan Taman Negara Gunung
Gading terlebih dahulu bagi mendapatkan waktu mekarnya.
Nasihat saya kepada pengunjung
yang ingin mendaki Gunung Gading atau mana-mana gunung, pastikan anda
menyiapkan diri dari segi fizikal, mental serta barang kelengkapan untuk
mendaki Gunung seperti topi, lampu suluh, wisel dan lain-lain. Jangan lupa
makanan dan minuman secukupnya ok….tengah-tengah hutan tu takde Shopping Mall.